Tipe-X, Ruffedge, Lah Ahmad sertai Latihan Pestapora Malaysia 2026
KUALA LUMPUR: Festival muzik rentas budaya Latihan Pestapora Malaysia 2026 bakal tampil lebih meriah dengan penyertaan lima lagi artis popular dari Malaysia dan Indonesia.
Penganjur Hitman Solutions dan Boss Creator mengumumkan barisan artis Fasa 2 membabitkan kumpulan ska Indonesia, Tipe-X, kumpulan rock alternatif Last Child, selain nama besar R&B tempatan Ruffedge, penyanyi Lah Ahmad serta DJ Disko Santan & Friends.
Kesemua artis berkenaan bakal bergabung bersama barisan penyanyi yang diumumkan sebelum ini untuk menghiburkan peminat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026.
Tipe-X dijangka menghangatkan pentas menerusi irama ska yang menjadi identiti mereka sejak lebih dua dekad, manakala Last Child bakal membuat penampilan pertama di Malaysia.
Bagi peminat muzik tempatan, kemunculan Ruffedge dan Lah Ahmad pastinya mengimbau nostalgia menerusi lagu-lagu R&B yang pernah mencipta fenomena, sementara DJ Disko Santan & Friends melengkapkan pengalaman festival dengan persembahan muzik sepanjang acara.
Berlangsung selama 12 jam, festival itu menghimpunkan 15 artis Malaysia dan Indonesia selain menawarkan pengalaman lebih daripada sekadar konsert menerusi aktiviti, jualan makanan serta minuman kepada pengunjung.
Penganjur turut menyediakan kemudahan air mineral percuma dan stesen isi semula air bagi memastikan pengunjung kekal bertenaga sepanjang festival berlangsung.
Tiket kini memasuki fasa General Admission Phase 2 pada harga RM249, manakala tawaran “Bundle Pesta” turut diperkenalkan bagi pembelian berkumpulan.
Latihan Pestapora Malaysia 2026 dianjurkan dengan sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Perbadanan Stadium Malaysia, Tourism Malaysia serta beberapa rakan media dan radio tempatan.
- Hits: 111
