Kuala Lumpur: Bahang konsert stadium Ratu Rock negara, Ella, semakin terasa apabila 90 peratus tiket persembahan “Majlis Tertinggi Rockqueen” sudah berjaya dijual, sekali gus membuktikan aura luar biasa penyanyi legenda itu masih utuh di hati peminat. 

Perkembangan itu dikongsikan dalam majlis eksklusif “Jamuan Tengah Hari Bersama Ella” yang berlangsung di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid, semalam.

Majlis berkenaan dianjurkan khas sebagai tanda penghargaan kepada rakan media yang sekian lama menyokong perjalanan seni Ella lebih tiga dekad.

Acara santai tetapi penuh makna itu menjadi pembuka tirai kepada konsert berskala besar yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari depan.

Dalam suasana mesra, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin meluangkan masa beramah mesra sambil berkongsi detik perjalanan kariernya bersama media.

Menurutnya, konsert itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah perjalanan emosi yang membawa makna mendalam buat dirinya dan peminat setia.

 “Ini adalah perjalanan emosi dan penghargaan buat peminat yang telah bersama saya sejak awal kerjaya.

Kami sedang mengukuhkan kandungan konsert selain latihan intensif dari segi fizikal, vokal dan mental kerana ini persembahan solo terbesar sepanjang karier saya,” katanya.

Ella turut menegaskan konsert berkenaan membawa misi kebajikan dan percaya muzik mampu menyatukan masyarakat.

“Anda bukan sekadar penonton, anda adalah sejarah itu sendiri,” katanya penuh semangat. 

Pada masa sama, suami Ella, Kapten Azhar Ghazali mengumumkan barisan artis jemputan yang bakal berkongsi pentas bersama Ella nanti.

“Antara nama besar yang hadir memeriahkan acara ialah Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta kumpulan The Boys (Ella & The Boys).

“Gabungan artis pelbagai generasi itu dilihat sebagai simbolik penghormatan terhadap perjalanan seni Ella selain menyatukan peminat muzik tanah air dalam satu sejarah pentas.,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata produksi konsert berkenaan dirancang secara teliti bagi menghormati legasi Ella sebagai ikon rock negara.

Katanya, aspek audio, visual dan susunan persembahan diberi perhatian khusus bagi memastikan pengalaman bertaraf antarabangsa dapat dinikmati penonton.

 “Penjualan tiket kini sudah mencapai 90 peratus dan hanya tinggal 10 peratus sahaja lagi peluang untuk menyaksikan konsert ini secara langsung.

“Konsep pentas separa bulan sepanjang 35 meter melambangkan ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ sebagai simbol penyatuan peminat dan sejarah yang dicipta bersama,” tegasnya..

Bagi melengkapkan pengalaman konsert, barangan cenderamata rasmi seperti kemeja-T, jersi, baju panas, jaket, topi dan beg turut dijual menerusi laman web rasmi penganjur sejak 14 Januari lalu.

Dengan sambutan hangat yang diterima setakat ini, konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen” dilihat bakal menjadi satu lagi momen bersejarah dalam karier seni Ella dan industri muzik tempatan.

-PERAKTASTIC-